Showing posts with label 9 Amalan Hebat Pada Hari Jumaat. Show all posts
Showing posts with label 9 Amalan Hebat Pada Hari Jumaat. Show all posts

Thursday, 17 March 2016

Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari.Inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak fadhilat dan kelebihan seperti yang dinukilkan dalam dalil al-Quran dan al-Sunnah. Adalah wajar kaum muslimin merebut peluang keemasan ini untuk meningkatkan kualiti amalan mereka menurut petunjuk Nabi Muhammad shallallahu’alaihi wasallam. Berikut dikongsikan Kelebihan Hari Jumaat - Penghulu segala hari.


Kelebihan Hari Jumaat
Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu
1)  Allah ciptakan Adam ,
2)  Allah turunkan Nabi Adam  ke bumi,
3)  Allah mematikan Nabi Adam,
4) Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram.
5) Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut. (Riwayat Hadis Muslim)



AMALAN PERTAMA: 
Memotong Kuku. Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya.

Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

AMALAN KEDUA:
Membaca Surah Ali-Imran. Sabda Nabi s.a.w. yangb bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.”

AMALAN KETIGA:
 Membaca Surah Al-Kahfi. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

AMALAN KEEMPAT:
Mengucapkan Selawat Ke atas Nabi s.a.w. Berselawat sekali ke atas Nabi, Allah Taala memberi rahmat 10 kali ganda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)”.

(HR.Al-Baihaqi) Allah Taala juga ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)”. (QS.Al-Ahzab:56)

AMALAN KELIMA:
Membaca Yassin. Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah

AMALAN KEENAM:
Mandi Sunat Jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.”

Dan sebuah hadith daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu. 
(Muttafaq alaih)

Manakala sebuah lagi hadith yang menerangkan tentang mandi sunat hari Jumaat adalah sebuah hadith daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama. (HR.Imam Abu Daud dan Tarmidzi).


AMALAN KETUJUH:
Solat Jumaat. Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.”

AMALAN KELAPAN:
Berdoa Bersungguh-sungguh. Majoriti ulama’ berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua. Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar. 

Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo’a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do’anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan. (HR.At-Tirmidzi).

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan”. (HR.Al-Bukhari dan Muslim)

AMALAN KESEMBILAN:
Banyakkan Bersedekah. Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya. Ibnu Qayyim berkata: Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya. Hadis dari KaĆ¢ab menjelaskan: Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.



Kesimpulannya,

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Moga perkongsian Kelebihan Hari Jumaat - Penghulu segala hari ini bermanfaat. Moga kita dapat sama-sama beramal kearah kebaikan.

sumber dari:PANDUAN MALAYSIA
0

Author